RAMAI -RAMAI GOTONG- ROYONG





















Amalan gotong-royong merupakan amalan masyarakat kita yang mengutamakan semangat bekerjasama di antara satu sama lain, bak kata pepatah `berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Budaya bergotong-royong merupakan amalan kerjasama yang berdasarkan kesanggupan seseorang untuk melakukan sesuatu pekerjaan secara ikhlas; tanpa mengharapkan sebarang balasan dalam bentuk upah atau gaji. Secara jelas, bergotong-royong mengetepikan sikap mementingkan diri sendiri dan kebendaan.
Amalan bergotong-royong sememangnya telah lama menjadi tradisi di kalangan masyarakat Melayu, terutamanya masyarakat Melayu di desa yang kaya dengan adat bermasyarakat jika dibandingkan dengan masyarakat bandar. Kesibukan masyarakat bandar yang kerap membawa diri sendiri dan mementingkan kerjaya dan kebendaan menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk melibatkan diri dalam amalan ini.
Sikap bergotong-royong juga patut diamalkan di kalangan pelajar. Penglibatan para pelajar dalam kerja gotong-royong dapat mendedahkan mereka kepada cara hidup bermasyarakat. Di samping itu, amalan gotong-royong juga dapat mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain. Para pelajar boleh menerapkan amalan ini dalam kegiatan persatuan, perbincangan, bersukan dan lain-lain. Contohnya, dalam kegiatan persatuan, projek yang dirancangkan boleh berjalan dengan lebih lancar dan tanpa gangguan sekiranya ahli-ahlinya mengamalkan sikap bergotong-royong. Hasil kerja yang dilaksanakan juga akan lebih baik di samping menjimatkan masa dan tenaga.
Dalam perbincangan pula, sikap bergotong-royong pun turut menguntungkan para pelajar. Jika pelajar bekerjasama menyediakan bahan-bahan untuk sesi perbincangan, perbincangan tersebut akan berjalan dengan lancar. Pengetahuan tentang tajuk yang dibincangkan juga bertambah kerana setiap pelajar akan berusaha untuk mencari isi-isi penting yang boleh dibincangkan.
Pentingnya sikap gotong-royong ini diamalkan oleh para pelajar bukan sahaja kerana dapat menguntungkan mereka, tetapi boleh juga menguntungkan masyarakat. Ini adalah kerana mereka boleh menyalurkan ilmu yang dipelajari kepada masyarakat setempat. Secara tidak langsung, usaha ini akan dapat membantu membina semangat kejirananan dan menguatkan perpaduan di kalangan anggota masyarakat, tidak kira di desa ataupun bandar.